Umumnya, 84% pasangan yang tinggal bersama akan mendapat cahaya mata dalam masa setahun perkahwinan mereka. Peratusan ini akan berkurangan untuk jangka masa yang seterusnya. Lazimnya, pasangan -pasangan yang masih belum dikurniakan zuriat setelah lebih setahun berkahwin digalakkan untuk mendapatkan rawatan sesi kaunseling bersama doktor. Ia penting untuk mengetahui apakah punca-punca dan sebab-sebab yang menyebabkan kelewatan proses normal tersebut.
Wujud beberapa sebab yang sering menjadi faktor kelewatan proses kehamilan bagi sesetengah pasangan. Antaranya ialah :
1. Adakah si isteri menghasilkan ovum?
Tahukah anda bahawa tiadanya penghasilan ovum (Anovulation) menyumbangkan 21% kepada faktor-faktor kelewatan hamil atau kemandulan!
2. Adakah si suami menghasilkan sperma yang cukup, sihat dan berkualiti?
Faktor-faktor kelemahan suami memainkan peranan sebanyak 24% kepada punca-punca kelewatan hamil bagi sesebuah pasangan!
3. Adakah ovum dan sperma bersenyawa?
Terdapat beberapa faktor penyebab yang menyebabkan sperma dan ovum tidak dapat bertemu dan kesannya, proses persenyawaan gagal berlaku. Antaranya ialah faktor penyempitan salur tiub Falopio, cecair mukus di laluan rahim yang terlalu pekat dan sebagainya. Adalah digalakkan bagi setiap pasangan untuk bersama kira-kira tiga kali dalam masa seminggu untuk memastikan tahap kesuburan pasangan berkekalan.
4. Adakah Embrio Berjaya Melekat Di Dinding Rahim?
Embrio adalah janin daripada pasangan suami dan isteri. Kegagalan embrio ini untuk melekat di dinding rahim juga menyebabkan proses normal kehamilan itu tidak dapat berlaku.
Penulisan : Dr.Mohd Azreen Ezairy Mohamad Sallih